Monday, June 21, 2010

DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL ( AUTOMOTIF )





Pada era kini, industri automotif berkembang dengan begitu pesatnya. Di peringkat nasional, sektor automotif telah memainkan peranan dalam arus pembangunan negara. Ini dapat dilihat melalui pembuatan kereta nasional yang telah mengambil tempat dan terus mempelopori industri permotoran negara.

Untuk memenuhi permintaan sumber tenaga manusia dalam bidang automotif maka Kursus Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) telah diperkenalkan di Politeknik. Program ini telah dirancang dan dilaksanakan dengan mengambilkira perkembangan semasa industri automotif negara dan juga peringkat global.

Program Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) ini memberi asas yang luas dalam kejuruteraan mekanikal dan seterusnya membawa kepada pengkhususan bidang kejuruteraan automotif. Modul pengkhususan adalah Teknologi Automotif, Amalan Bengkel Automotif, Enjin Pembakaran Dalam, Kajidaya Kenderaan Bermotor, Hidraulik Mobil, Pengurusan Pusat Servis, Peralatan Elektrik dan Elektronik Kenderaan dan Rekabentuk Kejuruteraan di samping modul teras dan beberapa modul elektif yang pelajar perlu ambil. Lulusan ini berpeluang menceburi pekerjaan dalam pelbagai industri automotif dan industri perkhidmatan yang berkaitan.

Kursus ini juga dirangka untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi kemahiran dan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan automotif. Ini membolehkan pelajar untuk menyelesaikan masalah, mempertingkatkan kebolehan dan memperolehi kemahiran berfikir secara abstrak dan kritis, berkemampuan untuk melahirkan kreativiti secara individu atau usaha sama serta menjadi pelajar sepanjang hayat (lifelong learner).

Modul teras merupakan pengetahuan dan kemahiran asas yang 'broad-based'. Pelajar diberi pendedahan teori dan kemahiran praktikal yang komprehensif dalam beberapa aspek penting dalam bidang kejuruteraan supaya mereka lebih berkeyakinan apabila menceburi dalam bidang kerjaya yang berkaitan. Ini meliputi beberapa aspek yang diperlukan seperti Teknologi Elektrik, Sains Juruteknik, Lukisan Kejuruteraan, Amalan Bengkel Mekanikal, Teknologi Worksyop, Teknologi Bahan, Lukisan Terbantu Komputer, Kajidaya Bahan Dan Mekanik Bendalir.

Modul elektif yang ditawarkan kepada pelajar memberikan nilai tambah dari segi pengetahuan dan kemahiran bagi melengkapkan pelajar untuk menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar. Pelajar juga didedahkan dengan Kawalan kualiti, Instrumentasi dan kawalan, Ekonomi Pembuatan dan Prinsip Mikropemproses.

Strategi pengajaran dan pembelajaran adalah merupakan gabungan antara syarahan, kerja bengkel, kerja amali, kajian kes, perbincangan dalam kumpulan, persembahan, tugasan dan latihan industri yang akan dijalani pada semester keempat. Pelajar juga diberikan satu modul projek di semester akhir untuk dilaksanakan secara berkumpulan bagi mendedahkan dan memberi peluang kepada pelajar menggaplikasi pengetahuan yang telah diperolehi di mana mereka merekacipta, membuat kajian kes atau membuat inovasi dalam rekacipta sedia ada disamping mempelajari kemahiran menguruskan projek dalam persekitaran berkumpulan. Penilaian pelajar adalah berdasarkan kepada penilaian berterusan dan penilaian akhir semester.
PELUANG PEKERJAAN





  • Pembantu Teknik Mekanikal (Automotif)
  • Penolong Penguatkuasa Pengangkutan
  • Tenaga Pengajar Kemahiran Vokasional (Automotif)
  • Penyelia Industri
  • Pembantu Penyelidik
  • Lain-lain kerjaya yang berkaitan

No comments:

Post a Comment